Dari Seorang Perompak Menjadi Seorang Ahli Sufi
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Luqman Hakim menceritakan, pada zaman dahulu ada seorang Islam yang bernama Fazil bin Ayaz. Sebelum beliau menjadi seorang ahli sufi, beliau mempunyai latar belakang yang menarik.
Sebelum beliau menjadi taat dan bertaqwa kepada Allah Taala, Fazil adalah seorang ketua kepada sekumpulan perompak. Walaupun beliau melakukan kerja-kerja terkutuk seperti merompak harta orang lain, namun beliau tidak lupa mengerjakan solat fardhu setiap hari. Beliau juga tidak meninggalkan ibadat puasa di bulan Ramadhan. Beliau juga berpakaian sederhana seperti manusia biasa.
Pada suatu hari, kumpulannya telah menyerang sekumpulan khafilah yang baru pulang dari berdagang. Fazil tidak ikut serta dalam serangan itu, sebaliknya beliau hanya memerhati dari kejauhan sahaja. Tatkala khafilah itu ternampak sekumpulan perompak menyerang ke arah mereka lantas ketua khafilah ternampak Fazil berdiri tidak jauh dari situ.
Ketua khafilah itu menyangka bahawa Fazil adalah seorang yang baik kerana air muka serta pakaiannya tidak menggambarkan beliau seorang yang jahat. Apabila teman-teman khafilah yang lain telah ditawan oleh kumpulan perompak tadi, ketua khafilah itu berkata kepada Fazil: "Tuan, tolonglah simpankan seluruh wang dan harta benda saya ini. Kami sedang dirompak oleh orang-orang jahat. Bila mereka sudah pergi dari sini, barulah kami akan mengambil semula barang-barang ini." Begitulah kata ketua khafilah itu kepada Fazil yang disangkakannya seorang yang baik.
Setelah rakan-rakan perompaknya habis merompak, mereka pun pergi mendapatkan Fazil yang berada tidak jauh dari situ. Pada masa itu, ketua khafilah tersebut sedang berada di samping Fazil. Sebaik sahaja perompak itu datang menghampiri Fazil, ketua khafilah itu amat terkejut kerana dia tidak menduga bahawa orang yang dipercayai menjaga hartanya adalah ketua perompak.
Dalam keadaan kebingungan bercampur takut, Fazil memandang ke arah muka ketua khafilah itu. Dengan lembut Fazil berkata kepadanya: "Janganlah takut tuan. Oleh kerana tuan berbaik sangka terhadap saya, maka saya tidak tergamak hendak mengambil barang-barang tuan."
Tiba-tiba muncul seorang lelaki tua yang tidak diketahui dari mana asal usulnya dan ke mana tujuannya lalu di situ dengan menaiki seekor unta. Sambil berjalan melintasi Fazil dan ketua khafilah itu, dia membaca sepotong ayat suci dari al-Quran yang bermaksud: "Orang yang berbuat jahat masih lagi mempunyai peluang untuk bertaubat dari segala dosa-dosanya itu."
Sebaik sahaja mendengar ayat tersebut, Fazil seolah-olah disirami petunjuk (hidayah) Allah Taala hingga dia menjadi termenung seketika. Jiwanya benar-benar telah diresapi oleh keinsafan untuk kembali pada jalan Allah S.W.T. Jalan mulia yang digariskan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Dengan serta merta dia memanggil rakan-rakannya yang lain: "Wahai kawan-kawanku sekalian. Ketahuilah oleh kamu bahawa mulai hari ini, aku tidak akan melakukan kerja-kerja mungkar lagi keji di sisi Allah Taala. Sesungguhnya aku ingin bertaubat ke hadrat Allah dan berdoa agar Allah mengampuni segala dosa-dosaku yang lampau."
Fazil cuba memujuk rakan-rakannya agar menuruti jalannya yang bersih. Malangnya mereka enggan mengikutinya. Bagaimanapun pengikut-pengikutnya yang lain terus pergi dari situ dengan meninggalkan dia bersama khafilah. Mereka tidak mengambil segala harta rampasan itu kerana takutkan ketua mereka yang telah bertaubat. Maka Fazil pun memohon maaf dari khafilah-khafilah tadi.
Tetapi, ada seorang Yahudi yang tidak mahu memaafkan Fazil. Sebaliknya dia disuruh melakukan dua perkara. Pertama, Fazil hendaklah mengalihkan sebuah bukit pasir ke satu tempat. Fazil sedia menerima permintaannya. Dengan penuh keyakinan, Fazil mengadap dirinya ke bukit tersebut. Tiba-tiba sahaja angin bertiup dengan kencang dan memindahkan bukit yang dimaksudkan itu ke satu tempat yang lain yang tidak jauh dari situ.
Setelah daripada kejadian itu, orang Yahudi itu memasukkan tanah liat ke dalam sebuah guni besar lalu dia menyuruh Fazil memulangkannya semula kepadanya tetapi dengan syarat, guni tersebut hendaklah penuh dengan emas. Fazil tetap bersetuju dan beliau sanggup melakukannya. Keesokannya, Fazil memulangkan semula guni itu kepada orang Yahudi tersebut. Alangkah terkejutnya si Yahudi apabila membuka guni itu yang telah dipenuhi dengan emas yang bergemerlapan.
Melihat kejadian itu, orang Yahudi itu lantas sujud di kaki Fazil seraya berkata: "Sekarang tidak syak lagi bahawa engkau benar-benar bertaubat. Aku telah membaca di dalam kitab Taurat di mana seseorang yang benar-benar bertaubat di atas segala kesalahannya—benar atau tidak taubatnya itu dapat dilihat pada dua perkara. Pertama, dia dapat memerintahkan gunung-gunung bergerak. Kedua, dia boleh menukarkan tanah liat kepada emas. Oleh sebab itu, aku menyuruh engkau melakukan dua perkara itu untuk menguji engkau dan taubatmu itu. Kini tahulah aku, bahawa engkau sesungguhnya adalah seorang yang baik dan mulia."
Comments