Pengetahuan Tentang Zihar

Rata-rata pasangan suami isteri hari ini tidak mengetahui tentang zihar. Apakah yang dimaksudkan dengan zihar?

Zihar secara ringkas:-
Perbuatan menyamakan isteri dengan perempuan-perempuan yang haram dinikahi (mahram) oleh suami seperti ibu, nenek, makcik, anak perempuan, anak saudara perempuan, dsbnya.

Contoh zihar, menyamakan punggung isteri dengan punggung ibu kepada suami.

Serba sedikit tentang zihar yang saya dapat melalui pencarian.

PERINCIAN

Rukun Pertama : Tidak disertakan kerana meyakini ianya jelas.
Rukun Kedua : Tidak disertakan kerana menyakini kejelasannya.
Rukun Ketiga : (Perkara yang diserupakan).

Untuk mensabitkan rukun ini, beberapa syarat berikut mesti difahami :

Syarat yang disepakati oleh jumhur ulama’ :-

Anggota-anggota yang haram dilihat oleh sesama mahram. Contoh: punggung, perut, kemaluan disekitarnya dan yang seumpama dengannya. Penyamaan dengan tangan, kepala, kaki, rambut, dll. Demikian pandangan kebanyakan ulama’, Ulama’ Hanbali & Maliki mensabitkan seluruh anggota sama ada haram dilihat mahupun tidak, semuanya boleh mensabitkan zihar (Al-Fiqh al-Islami wa adillatuhu, 9/7173)

Pandangan yang rajih adalah pandangan jumhur.

Mestilah anggota-anggota ini dari wanita yang diharamkan berkahwin dengan si lelaki sama ada tahrim secara berkekalan (muabbad) atau keturunan (nasab) atau susuan dan musoharah. Seperti ibu, anak, adik-beradik, pakcik, makcik, dll yang berkaitan. Selain pandangan mazhab utama, ia juga pandangan Hasan al-Basri, Ato’ Abi Rabah, As-Sya’bi, An-Nakha’ie, Al-Awza’ie, at-Thawry, Ishak Rahawaih, Abu Ubaid, Abu Thaur.

Pandangan Imam Syafie dalam 'Qawl Qadim’ : Tidak jatuh zihar terhadap semua wanita kecuali ibu dan nenek sahaja… Kerana ayat berkenaan zihar itu ditujukan khas untuk ibu. Tetapi Qawl Jadid Imam Syafie meminda ijtihadnya dengan mengatakan jatuh zihar kerana wanita yg diharamakan tadi menyerupai pengharaman ibu (al-Muhazzab, As-Syirazi dan al-Majmu’, 19/45)

Manakala yang tidak muabbad seperti wanita asing, adik-beradik perempuan bagi isteri, dll. Tidaklah penyerupaan dengan mereka dianggap zihar. (Lihat Al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-‘Arba’ah 4/500 ; Ad-Dusuqi ala syarh al-Kabir 2/439 ; Ashal al-Madarik 2/169 ; Kifayatul akhyar 2/71)

Ulama Maliki menambah bahawa binatang juga termasuk dalam kategori yang tidak boleh disamakan. Kerana asalnya manusia tidak boleh berhubungan jenis dengan binatang. Maliki juga mensabitkan zihar kiranya menyamakan rambut isteri dengan rambut ibu, dll. Manakala jumhur tidak berpandangan demikian. (Ad-Dusuqi ala syah al-Kabir, 2/439)

Syarat yg diperselisihkan :-
* Mestilah diserupakan dengan anggota wanita.

Kiranya ditasybihkan dengan lelaki seperti, “Belakang/punggung kamu seperti belakang/punggung bapaku”. Ulama Hanafi & Syafie mengatakan TIDAK JATUH ZIHAR.

Bagaimanapun Ulama’ Hanbali & Maliki mengatakan JATUH ZIHAR DENGAN SYARAT MENYAMAKAN DENGAN SEBARANG ANGGOTA YANG TIDAK HALAL DILIHAT SEPERTI PERUT, PEHA, KEMALUAN, PUNGGUNG, DLL yang seerti. Kiranya menyamakan dengan kepala bapa, rambut, hidung, dll, TIDAKLAH DIANGGAP ZIHAR (Lihat ashal al-Madarik 2/170 ; Juga al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-‘Arba’ah, 4/499 ). Semua mazhab mempunyai dalil masing-masing.

Ulama Syafi’iyyah mengatakan kiranya tasybih itu bukan pada bahagian haram dilihat tadi, ia bergantung kepada niat, kiranya ia berniat memuliakan/bangga maka tidaklah jatuh zihar, jika sebaliknya maka jatuh zihar. (Kifayatul akhyar, 2/70)

Rukun Keempat : Sighah (Lafaz Zihar)

Syarat lafaz untuk sabit zihar adalah :-

a. Perlu kepada niat, kiranya ia dibuat secara Kinayah (tidak jelas)

Sighah Sorihah (terang, jelas) seperti : “Punggung dinda benar-benar seperti punggung bonda kanda” .

Lafaz seperti di atas tidak perlu kepada niat, bahkan jatuh zihar apabila didengari.

Kinayah pula adalah lafaz-lafaz yang boleh diandaikan bermaksud zihar tapi mungkin juga tidak seperti : ”Dinda ni seperti bondaku”. Lafaz seperti ini kemungkinan bermaksud zihar kemungkinan juga bermaksud memuliakan, hormat, penghargaan, dll. Maka ia bergantung kepada niat si suami.

Lafaz ini telah ijma’ di kalangan ulama’ tentang sabit zihar. Demikian menurut Ibn Munzir ( Lihat al-Majmu’ Imam Nawawi yang dilengkapkan oleh Syeikh Najib al-Mut’ie, 19/44)

b. Tidak disyaratkan untuk sabit zihar, mesti menggunakan lafaz yang memberi pengertian semasa.

Zihar jatuh dengan lafaz yang membawa pengertain semasa seperti : “Punggung dinda benar-benar seperti punggung bonda kanda.”

Juga jatuh kiranya diikat dengan waktu tertentu seperti : “Kiranya dinda masuk ke rumah itu maka perut dinda seperti perut bondaku.”

Jatuh zihar juga kiranya disandarkan ke zaman akan datang seperti : “Punggung dinda seperti punggung bondaku sehingga awal tahun depan.” atau “Perut dinda seperti perut bonda kanda dalam masa sebulan.”

Semua lafaz tadi cukup untuk menjatuhkan hukum zihar. (Rujuk Al-Bidayah al-Mujtahid 2/117 ; Matolib Uli An-Nuha 5/507 )

c. Mestilah lafaz tadi disandarkan kepada anggota tubuh wanita sama ada secara juzu’ atau sepenuhnya. (Bahagian yang diharamkan lihat tadi tanpa boleh di ihtimal lagi). ( Lihat Bada’I as-Sanai’ , 5/2129 )

HUKUM SETELAH JATUH ZIHAR

Setelah cukup syarat dan sabit jatuh zihar maka beberapa hukum berikut sabit :

Haram menyetubuhi isterinya (yang diziharkan) kecuali setelah dibayar kifarat. Ini adalah pandangan jumhur. Menurut tertibnya kirafat adalah membebaskan seorang hamba, puasa atau memberikan makan kepada enam puluh orang miskin. Dalilnya adalah dari firman Allah SWT surah al-Mujadila.

"Dan orang-orang yang "ziharkan" isterinya, kemudian mereka berbalik dari apa yang mereka ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur. Dengan hukum yang demikian, kamu diberi pengajaran (supaya jangan mendekati perkara yang mungkar itu) dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan. Kemudian, sesiapa yang tidak dapat (memerdekakan hamba), maka hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum mereka (suami isteri) itu bercampur. Akhirnya sesiapa yang tidak sanggup berpuasa, maka hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin." (Ayat 3-4)

Manakala istimta’ (bersedap-sedap, berseronok-seronok), sentuh dengan syahwat sebelum membayar kifarah juga tidak dibenarkan (Tahrim Wasail) di sisi ulama’ Hanafi dan Maliki ( Bada’I as-Sana’I, 5/2132 ; Ashal al-Madarik 2/170) Tetapi ianya harus di sisi ulama Syafie (Lihat Rawdah at-Tolibin 8/270 ; Fath al-Jawad 2/187 ; ‘Ianah at-Tolibin 4/37)

Pandangan yang rajih adalah tidak dibenarkan dengan Tahrim Wasail, kerana dibimbangi akan tergelincir ke persetubuhan. Pandangn lebih selamat bagi fatwa untuk orang awam. Kiranya sangat yakin tidak akan tergelincir & tidak dapat menahan kesabaran hingga dibimbangi memudaratkan, maka ketika itu ia menjadi rukhshoh.

Kesimpulan yang boleh dibuat (mengambil pandangan yang rajih):-
Hanya jatuh (sabit) zihar sekiranya menyamakan isteri dengan ibu, nenek, anak dan semua wanita yang diharamkan suami berkahwin dengannya secara kekal sama ada sebab keturunan, susuan mahupun musoharah.

Penyamaan anggota tertentu sahaja yang menyebabkan sabit zihar iaitu seluruh atau juzuk dari anggota yang haram dilihat sesama mahram. Penyamaan dengan anggota selain itu tidaklah sabit zihar.

Tidak sabit zihar, kiranya menyamakan anggota isteri dengan mana-mana lelaki. Hanya penyamaan dengan wanita sahaja sabit. Begitu juga menyamakan suara, rupa, dsbnya.

Istimta’ dengan isteri yang telah dizihar sebelum membayar kifarah adalah tidak dibenarkan dengan Tahrim Wasail. Dibimbangi akan terlanjur.

Justeru, menyamakan rupa, hidung isteri dengan rupa dan hidung anak tidaklah jatuh zihar, bagaimanapun menyamakan punggung isteri dengan punggung anak perempuannya, sabit jatuh zihar. Walapun si suami tidak berniat. Masalah kejahilan tentang hukum ini, mempunyai perbincangan yang lain yang agak panjang. Kesimpulannya, menurut Tuan Guru kami As-Syeikh Prof. Dr. Muhd ‘Uqlah al-Ibrahim, tiada keuzuran terhadap kejahilan. Menjadi kewajipan suami isteri sebelum berkahwin mengetahui hal yang berkaitan dengan hubungan suami isteri.

Wallahu a’lam.

Comments

Popular Posts