Raja Gula
Rasa kelakar pula bila ayah saya tiba-tiba salahkan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari berikutan kenaikkan harga gula. Katanya semenjak Tan Sri Syed Mokhtar mengambil alih gelaran Raja Gula dari Robert Kwok, harga gula selalu sahaja naik. "Tamak betul Syed Mokhtar ni," katanya.
Baiklah, saya tidak pernah mengenali Tan Sri Syed Mokhtar. Tetapi, setahu saya pada hari ini, gula di Malaysia bukan lagi dimonopoli oleh syarikat persendirian. Syarikat yang bertanggungjawab mengambil alih perusahaan gula di Malaysia ialah FGVH Berhad. Syarikat milik Felda, tentunya milik kerajaan.
Mungkin dengan pemotongan subsidi kali ini akan lebih menguntungkan FGVH Berhad dan kerajaan. Siapa tahu permainan mereka, kan? Rasionalisasi yang tidak masuk akal. Terlalu banyak permainan kotor yang direka oleh kerajaan sekarang ini.
Jika benar gula adalah punca utama penyakit kencing manis, kenapa tidak dikurangkan juga subsidi gas memasak? Supaya semua surirumah tidak memasak. Maka kuranglah pesakit kencing manis, darah tinggi, dan juga jantung. Jika difikir secara logik akalnya, memang itulah punca kepada semua penyakit. Jika gas mahal, rakyat kurangkan memasak. Jadi rakyat akan kurang makan. Betul?
Sebenarnya semua ini tidak boleh disekat. Jika kerajaan mengurangkan subsidi gula, rakyat masih terus membeli gula. Setakat BR1M yang hanya diberi setahun sekali, saya rasa lebih baik mansuhkan sahaja. Sewaktu zaman Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, beliau tidak pula melaksanakan program seperti itu. Tetapi rakyat mampu untuk bertahan dan hidup senang.
Rasional negara berpendapatan tinggi sebenarnya tidak boleh digunapakai. Kita lihat pada hari ini 3,000 ringgit sudah tiada nilainya. 10 tahun lalu, 3,000 ringgit adalah satu jumlah yang besar. Jadi di takuk mana pendapatan tinggi yang dimaksudkan? Jika hendak diikutkan terlalu banyak janji-janji Barisan Nasional pada PRU 13 yang masih belum ditepati dan mungkin tidak akan ditepati.
Lupakanlah cita-cita untuk menuju ke arah negara berpendapatan tinggi. Jika cita-cita itu membebankan rakyat jelata. Janganlah sampai PRU akan datang, Barisan Nasional akan hilang majoritinya dan sekaligus menjadi pembangkang. Rakyat di bandar dan pinggir bandar sudah tidak tahan lagi ditipu bertubi-tubi. Wallahua'lam.
Walaubagaimanapun, saya rasa ada juga baiknya juga pengambil alihan terhadap kilang gula dibuat. Sekurang-kurangnya kita tahu tahap halal produk tersebut. Lebih baik dari beri kepada konsesi tersebut kepada bukan Melayu.
Akhir kalam, saya ingin mengingatkan kepada diri saya dan juga rakan-rakan yang lain supaya berjimat cermat. Dunia akhir zaman ini banyak dugaannya. Menabunglah untuk kesejahteraan diri dan anak-anak di masa mendatang.
Selamat menunaikan solat Jumaat kepada semua muslimin. In Shaa Allah, semoga mendapat keberkatan di hari yang mulia ini.
Comments