Harga Sebuah Pertukaran

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana masih dipanjangkan usia untuk beramal di bumi-Nya ini. Hari Jumaat bersamaan 6 Disember lalu, kami sekeluarga telah pergi ke Putrajaya untuk buat rayuan pertukaran Mama Miqdad.

Pada asalnya, rancangan kami untuk ke sana pada 4 Disember bersamaan hari Rabu terpaksa ditangguhkan kerana kami merupakan mangsa banjir besar di Pantai Timur Semenanjung. Keadaan kami di sini seperti pulau. Buntu dan bingung dengan kejadian yang menimpa. Terputus semua hubungan kerana pencawang elektrik dan pam air terpaksa ditutup kerana ditenggelami air.

Berbalik kepada cerita perjalanan kami ke Putrajaya. Dugaan demi dugaan yang terpaksa kami tempuh untuk menuju kepada sebuah kebahagiaan, iaitu untuk hidup bersama di bawah satu bumbung.

Sewaktu dalam perjalanan ke Putrajaya, kami terlibat dalam kemalangan yang membabitkan sebuah bas, sebuah lori, dua buah kereta, dan dua buah pacuan 4 roda. Syukur tiada kemalangan jiwa dalam kejadian tersebut. Ya Allah, besarnya dugaan yang Engkau berikan kepada kami sekeluarga. 


Keadaan pacuan 4 roda milik Wanumi Miqdad. Jika Wanumi Miqdad tidak berbesar hati untuk menghantar kami ke Putrajaya, sudah semestinya kami akan ke sana dengan kereta sendiri. Bayangkan jika kemalangan ini berlaku kepada Hyundai Getz milik Mama Miqdad! SubhanAllah.. Pasti hancur keseluruhan belakang kereta itu dan apalah nasib kami yang berada di dalam pada tika itu. Sesungguhnya, rancangan Allah itu lebih baik dari segala apa yang kita rancang.


Ini pula keadaan bas persiaran, Perodua Myvi, Peugeot 508, dan Toyota Hilux dalam kejadian tersebut. Kejadian tersebut berlaku dalam sekelip mata. Waktu itu, Miqdad sedang tidur di belakang bersama saya dan Aki Miqdad. Saya terdengar bunyi tayar mengokot jalan disertai dengan bunyi dentuman. Terasa satu daya yang sangat kuat menolak di belakang. Bila saya toleh ke belakang, Masha Allah! Saya lihat sebuah Toyota Hilux telah terangkat belakangnya.

Selepas kemalangan, kami ke Balai Polis Gombak untuk membuat laporan tentang kejadian. Selesai sahaja membuat laporan polis, kami bergegas ke Putrajaya. Alhamdulillah, kami dapat sampai sebelum pejabat kerajaan tutup.


Tiba di Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia aras 4, Blok E2 Parcel E Putrajaya. Sudah ramai yang menunggu giliran.


Ahmad Miqdad Huzaifah bersama Wanumi yang banyak menolong dan berkorban untuk menukarkan Mama Miqdad ke Terengganu untuk sama-sama kami tinggal sebumbung.

Comments

Popular Posts