April, bulan yang sibuk

Lama saya tak update blog ni. Well, hari ini adalah hari ulangtahun kelahiran saya yang ke-30. Genap tiga dekad saya hidup di atas muka bumi Allah S.W.T. ini, dan selama itu jugalah saya melakukan pelbagai dosa di muka bumi Allah S.W.T. ini.

Bulan April 2014 adalah bulan yang sangat sibuk bagi saya. Sibuk dengan kerja. Sibuk dengan anak dan isteri. Sibuk menguruskan hal-hal keluarga. Alhamdulillah, semalam genap usia Miqdad 14 bulan. Tak sangka, pejam celik pejam celik, Miqdad sudah boleh berjalan.

Moment yang paling berharga bagi seorang ayah adalah melihat anak-anaknya belajar sesuatu yang baharu dan mampu menguasainya. Mungkin itulah perasaan ayah saya sewaktu saya kecil dahulu, kan?

Semalam saya dan emak pulang dari Melaka, menziarah Miqdad dan mama Miqdad di sana. Entah bila mama Miqdad akan dapat pindah bertugas di Kemaman. Rumah sudah hampir siap sepenuhnya. Bayangkan apabila rumah telah siap dan kami terpaksa menyewa dua buah rumah, membayar ansuran dua buah kereta, dan bil-bil utiliti yang lain.

Bila fikirkan keadaan tersebut, kepala saya akan mula berserabut. Dengan pendapatan saya yang tidak menentu, lebih menambahkan lagi kegusaran dan kekusutan di kepala ini. Saya harap Kementerian Pendidikan Malaysia faham akan masalah pasangan yang berjauhan seperti kami ini.

Bukan saya tidak mahu bertukar tempat kerja, tetapi rezeki saya bukan di Melaka. Saya ada cuba beberapa kali mencari pekerjaan di sana, namun tiada peluang untuk saya mendapat kerja di sana.

Harap-harap kali ini permohonan untuk bulan Jun nanti berjaya, In Shaa Allah..

Comments

Popular Posts