Selamat Tinggal 2014, Selamat Datang 2015
Pantas betul waktu berlalu. Dalam tidak sedar, sudah hampir setahun saya telah pulang bekerja di Kemaman. Dalam masa setahun ini, pelbagai ranjau dan duri perlu saya tempuhi. Dan dalam masa setahun ini juga Miqdad telah membesar. Alhamdulillah, Miqdad membesar dengan sihat dan terhindar dari penyakit-penyakit yang kritikal.
Tidak lama lagi, Miqdad bakal mendapat adik baru. In Shaa Allah, kali ini saya akan cuba untuk berada bersama-sama Mama Miqdad menyambut kelahiran adik Miqdad. Semoga Allah permudahkan segala urusan kami nanti.
Di akhir tahun 2014 baru-baru ini saya telah ditimpa musibah. Saya telah terlibat dalam satu kemalangan di Dungun ketika dalam perjalanan untuk menjemput Mama Miqdad di Kuala Terengganu untuk pulang ke Kemaman. Kejadian berlaku pada 4 Disember 2014, jam 8:15 malam. Pada ketika itu saya memandu seorang diri. Syukur kerana Mama Miqdad dan Miqdad tiada dalam kereta waktu itu.
Kejadian berlaku apabila sebuah Mitsubishi Triton telah hilang kawalan lalu masuk ke laluan saya. Saya cuba mengelak dari terjadi pertembungan berhadapan. Walaupun berjaya untuk mengelak, namun bahagian belakang Triton tersebut masih mengenai bahagian hadapan kereta kami. Beginilah keadaan kereta kami selepas kemalangan tersebut:
Sedih pula apabila melihat keadaan kereta kami ini. Namun apakan daya, malang tidak berbau. Walau kita sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga ketika memandu, kemalangan masih boleh berlaku juga. Namun tetap juga kita harus berwaspada ketika memandu dan sentiasa memastikan kenderaan kita dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.
Pada awalnya, bapa kepada pemilik Triton tersebut berjanji untuk membaiki kereta kami. Saya telah bersetuju kerana pada ketika itu, saya masih berada dalam keadaan bingung. Walaubagaimana pun, setelah mendengar nasihat dan berfikir semula, saya telah membuat laporan polis bagi tujuan tuntutan pihak insurans kerana kerosakan pada kotak gear agak mahal kos untuk dibaik pulih. Saya rasa kasihan kepada pemilik Triton tersebut.
Kereta telah dibawa pulang ke Kemaman untuk dibaik pulih di Bengkel Kereta Kemaman (BKK) kerana saya yakin akan keupayaan mereka membaik pulih kenderaan yang terlibat dengan kemalangan jika dilihat dari hasil kerja mereka sebelum ini.
Comments