Udang Galah Sepit Biru Rompin

Assalamualaikum w.b.t.

Lama saya tidak menulis. Hari ini terasa hendak menulis sedikit tentang perjalanan kami ke Kuala Rompin sebelum Ramadan baru-baru ini.

Perjalanan yang mengambil masa hampir lima jam, kerana kami singgah di Pekan terlebih dahulu untuk menghantar stok Bayu Kelulut kepada stokis yang menetap di sana.
Alhamdulillah, tibanya kami di sana berpandukan Google Maps. Terima kasih Google Maps kerana membantu kami mencari restoran yang menyajikan udang galah yang sedap walau harganya agak 'tersepit' dek sepit udang galah tersebut.

Inilah restoran yang kami singgah di Rompin. Gerai Makan Mak Ngah - Udang Galah Sepit Biru. Sememangnya di sini ada tersedia banyak lauk pauk lain, tetapi tujuan kami ke sana adalah untuk menikmati udang galah.

Maka, memang lauk kami pada petang tersebut hanyalah udang galah yang dimakan bersama nasi putih.

Harga seekor udang galah gred A sekitar RM25 ke RM28 bergantung kepada saiz dan juga keadaan fizikal udang tersebut. Jika anda ambil udang yang ada sepit, harganya RM28 dan udang-udang yang sudah kehilangan sepit, berharga RM25.

Syukur kerana dapat kami nikmati kelazatan udang galah sepit biru sebelum Ramadan tiba. Bukan selalu kami sampai ke sana. Itu pun ayahanda tercinta yang tiba-tiba teringin hendak makan udang galah di Rompin. Jika tidak, memang tidaklah kami ke sana kerana kekangan masa dan juga tidak larat untuk melayan karenah anak-anak yang sedang berkeinginan untuk meneroka setiap perkara.

Tidak lama lagi, seorang lagi khalifah akan lahir. Maka makin sibuklah kami sebagai ibu dan bapa hendak melayan setiap karenah anugerah-anugerah Allah ini.

Sehingga berjumpa lagi lain waktu. In shaa Allah, jika berkelapangan akan saya menulis lagi di blog yang tidak seberapa ini. Akhir qalam, saya sudahi dengan assalamualaikum w.b.t.

Comments

Popular Posts