Tekad Keluar UMNO: 'Jangan hina saya' - Shafie Apdal
SEPANG: Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd
Shafie Apdal hari ini memberi amaran kepada individu tertentu supaya
berhenti menghina beliau susulan keputusannya keluar dari parti itu.
Tegasnya, tunggu dan lihat kesan terhadap UMNO Sabah selepas ada pihak
yang menyifatkan tindakan beliau keluar parti tidak akan membawa
sebarang kesan kepada parti itu.
"Saya dahulu antara pengasasnya
(UMNO Sabah). Bukan besar sangat sumbangan saya, tetapi adalah sedikit
sumbangan saya di peringkat negeri Sabah dalam membesarkan dan membawa
parti UMNO.
"Ada yang menyatakan tidak ada kesannya dengan saya
keluar dari parti. Kita tunggu ada kesan atau tidak ada kesan. Kita
tunggu Allah SWT.
"Saya tahu saya pun ada penyokong, bukan tidak
ada penyokong, tapi jangan hina. Saya datang dari Sabah nak
memperjuangkan dalam membantu negara kita," katanya ketika di temui
media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba
dari Kota Kinabalu.
Ditanya adakah lebih ramai ahli UMNO Sabah
akan keluar parti, ujar Shafie, beliau mengetahui rasa yang terpendam
dalam hati terutama penduduk di luar bandar.
"Kita tunggu sahaja
macamana keadaannya. Rakyat memang saya tahu, suara-suara di peringkat
akar umbi. Lapan tahun saya jadi menteri luar bandar, saya tahu cita
rasa masyarakat luar bandar.
"Saya bela mereka, dari orang asli
yang tidak pernah dihantar (sekolah) sejak merdeka, 40 orang asli buat
sarjana di London dan Amerika Syarikat. Ramai. Jadi saya sedar apa cita
rasa dan (apa) yang terpendam dalam hati mereka," ujarnya.
Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna itu pada masa sama terus
mempersoal tindakan Lembaga Disiplin dan Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang
tidak memanggil beliau untuk memberi keterangan sebelum menggantung
keahliannya.
"Siasatlah dulu. Kenapa takut sangat nak siasat dan
berdepan dengan saya? Tanya saya apa salah saya. Dalam bulan yang baik
kita beramal, saya pergi umrah.
"Tidak langsung (dibincangkan penggantungan) semasa saya hadir (mesyuarat) Majlis Tertinggi. Tidak ada yang tanya saya.
"Bila saya pergi umrah, (MT) gantung saya. Tapi tak apa, mungkin ini di
antara petunjuk Allah bila saya berumrah dan berdoa di Masjid Nabawi,"
ujar Shafie. -Astro Awani
Comments